Doa Qunut merupakan salah satu doa paling utama dalam solat Subuh, diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW.
Dalam amalan solat harian umat Islam, doa ini dibaca selepas bangun dari rukuk pada rakaat kedua solat Subuh. Ia merupakan sunnah yang diamalkan oleh Rasulullah SAW yang menzahirkan kerendahan hati kerendahan hati dan pengharapan penuh kepada Allah SWT.
Di Malaysia yang rata-ratanya bermazhab Shafi’i, doa ini sudah diamalkan secara harian iaitu sewaktu solat Subuh sejak zaman-berzaman. Walaupun terdapat perbezaan pendapat antara mazhab mengenai kewajipan membaca doa ini, namun pendekatan berlapang dada serta menghormati adat setempat perlu diamalkan dalam menangani perbezaan pendapat ini,
Doa ini mempunyai lafaznya yang tertentu yang perlu dihafal. Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Muslim untuk menerapkan keperluan fardhu ain semenjak kecil lagi. Maka, doa ini merupakan doa yang perlu dihafal oleh kanak-kanak supaya mereka mampu mengamalkannya apabila mencapai aqil baligh kelak.
Doa Qunut: Bacaan dan Maksudnya dalam Bahasa Melayu
Berikut ialah lafaznya:
اللَّهُمَّ اهْدِنِي فِيمَنْ هَدَيْتَ، وَعَافِنِي فِيمَنْ عَافَيْتَ، وَتَوَلَّنِي فِيمَنْ تَوَلَّيْتَ، وَبَارِكْ لِي فِيمَا أَعْطَيْتَ، وَقِنِي شَرَّ مَا قَضَيْتَ، فَإِنَّكَ تَقْضِي وَلَا يُقْضَى عَلَيْكَ، وَإِنَّهُ لَا يَذِلُّ مَنْ وَالَيْتَ، وَلَا يَعِزُّ مَنْ عَادَيْتَ، تَبَارَكْتَ رَبَّنَا وَتَعَالَيْتَ، فَلَكَ الْحَمْدُ عَلَى مَا قَضَيْتَ، وَنَسْتَغْفِرُكَ وَنَتُوبُ إِلَيْكَ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.
Dan terjemahannya dalam Bahasa Melayu:
“Ya Allah, tunjukkanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-apa yang telah Engkau berikan kepadaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapa pun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak hina orang yang memperoleh pimpinan-Mu. Dan tidak mulia orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan, dan Maha Tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji, terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dirahmati Allah jugalah kiranya Muhammad, Nabi yang Ummi, dan keluarganya dan sahabat-sahabatnya, dan diberi-Nya kesejahteraan ke atas mereka seluruhnya.”
Kelebihan dan Hikmah Membaca Doa Qunut
Amalan membaca doa ini tidak hanya menambah keberkatan dalam solat Subuh, malah ia juga mengandungi banyak pengajaran dan penghayatan rohani. Antara kelebihan dan hikmah doa ini termasuklah:
- Memohon hidayah secara langsung daripada Allah SWT, yang Maha Mengetahui jalan yang lurus.
- Menzahirkan kebergantungan sepenuhnya kepada Allah dalam segala urusan kehidupan.
- Menginsafi bahawa hanya Allah yang berkuasa dalam menetapkan nasib dan takdir manusia.
- Merendahkan diri dengan memohon keampunan dan taubat kepada-Nya.
- Menghidupkan sunnah Rasulullah SAW dalam solat harian, yang menjadi lambang kecintaan kita kepada Baginda.
Penutup
Doa Qunut adalah amalan yang penuh dengan makna dan keberkatan. Ia bukan sekadar bacaan dalam solat, tetapi merupakan sebuah doa yang mencerminkan pengharapan, kerendahan hati, serta pengiktirafan bahawa segala-galanya di bawah ketentuan Allah SWT. Dengan mengamalkan doa ini, umat Islam akan sentiasa mendidik hati untuk kembali kepada Tuhan, memohon perlindungan dari keburukan, serta mensyukuri setiap kurniaan yang diberikan. Maka sewajarnya doa ini terus diamalkan dan difahami, bukan sekadar dihafal.